Sebenarnya inilah sikap jahil sesetengah penulis blog yang menyokong Pas. Mereka suka melihat segala-galanya dari sudut politik. Mereka perlu faham bola sepak tiada kaitan dengan politik. Malah pemain-pemain yang terlibat turun ke padang tanpa mempedulikan apa-apa pun fasal politik.
Kalau mahu dilihat sudut politik, Umno Kelantan pun boleh mendabik dada kerana kejayaan pasukan bola sepak negeri itu adalah hasil bimbingan dan kepimpinan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Annuar Musa yang sehingga hari ini adalah Ketua Umno Bahagian Ketereh.
Tetapi Umno tidak mahu berbuat demikian dan mengenepikan soal politik. Mereka melihat kejayaan pasukan bola sepak Kelantan adalah atas kesungguhan dan sokongan semua pihak termasuklah Nik Abdul Aziz yang baru-baru ini memberikan sumbangan RM15,000 untuk tabung kebajikan pemain. Ia belum lagi mengambil kira janji kerajaan negeri memberikan ganjaran jika Kelantan berjaya menjuarai Piala Malaysia.
Justeru adalah lebih baik kegembiraan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong Kelantan tidak diganggu- gugat oleh sebarang fahaman politik sempit.
Tidak payahlah menggunakan istilah “Negeri Sembilan Darul Umno” atau “Kelantan Darul Pas”. Semua istilah itu tidak termasuk dalam kamus kedua-dua pasukan yang kini sedang memberikan tumpuan penuh bagi memenangi Piala Malaysia.
Negeri Sembilan ingin menamatkan kemarau 61 tahun kerana mengikut rekod kali terakhir mereka menangi piala tersebut iaitu pada tahun 1948 – ketika itu dikenali sebagai Piala HMS Malaya. Kelantan pula ingin menamatkan kegersangan 39 tahun lalu.
Oleh itu kedua-dua pasukan turun dengan matlamat untuk mencatatkan sejarah bagi pasukan bola sepak negeri masing-masing.
Mungkin ada di kalangan penyokong Pas yang merasakan mereka terdesak dalam soal isu-isu politik termasuklah juga dengan kemelut yang melanda parti itu tetapi mereka tidak harus membawa kegelisahan tersebut ke dalam acara sukan.
Biarlah urusan politik diselesaikan di gelanggang politik manakala perlawanan bola sepak diselesaikan di gelanggang sukan. Ia adalah dua perkara yang berbeza.
Kita harus ingat penyokong parti mungkin tidak mampu duduk semeja berbincang soal politik tetapi mereka boleh duduk semeja apabila bercakap soal sukan termasuklah juga bola sepak.
Atas sebab itulah kita mahu penyokong Pas mendengar nasihat Nik Aziz supaya mengutamakan semangat kesukanan dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa hatta semasa menyaksikan perlawanan bola sepak sekalipun.
Sejarah dunia sudah menyaksikan bahawa bola sepak adalah salah satu sukan utama yang mampu menyatukan apa juga kaum dan tidak kira apa juga negara. Sebab itulah Piala Dunia sering dijadikan medan untuk berkempen agar masyarakat dunia bersatu dan mengenepikan perbezaan antara mereka.
Malah acap kali juga bola sepak dijadikan landasan bagi menyatukan antara dua negara yang bertelingkah seperti mana perlawanan persahabatan antara Iran dan Iraq suatu masa lalu.
Selain itu teguran juga perlu diberikan di kalangan sesetengah penulis blog yang menimbulkan persoalan kenapa Annuar boleh berjaya dalam memimpin pasukan bola sepak Kelantan tetapi gagal membantu Umno dan BN merampas kembali negeri itu dari Pas.
Penulis sebenarnya sudah menjangkakan bahawa akan ada penulis blog atau penyokong yang akan membangkitkan isu ini tetapi kita tidak harus terperangkap dengan andaian politik sempit seumpama itu.
Annuar memberikan sepenuh perhatian kepada pasukan Kelantan kerana itu negeri kelahirannya. Beliau ingin melihat anak-anak Kelantan bersatu padu melalui bola sepak, biarpun mereka mungkin tidak boleh bersatu dari segi politik.
Malah apa yang lebih penting, Annuar ingin menabur jasa kepada Kelantan tidak kira dalam bidang apa sekali pun. Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak hendak berdebat soal kejayaan beliau dalam sukan tersebut berbanding politik. Setiap pemimpin pasti ada keistimewaannya tersendiri.
Semoga perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini akan berlangsung dalam semangat kesukanan yang tinggi bukan sahaja oleh pemain-pemain tetapi juga penyokong yang sudah pastinya akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. – Utusan Malaysia